Wednesday, January 13, 2016
JODOH ITU RAHSIA ALLAH..
Setiap kali datang tahun baru, bermakna umur kita semakin meningkat. Semakin umur meningkat, semakin banyak perkara yang difikirkan, terutama apabila banyak perkara dalam kehidupan ini belum tercapai. Antara perkara yang sering di fikiran adalah tentang jodoh.
Daripada pertemuan jodoh yang baik, akan terbina rumah tangga dan keluarga yang baik, seterusnya daripada ahli keluarga yang baik dan bahagia akan terbina negara yang aman dan jaya. Sebab itulah pentingnya perkahwinan, sehingga Nabi Muhammad SAW, tidak mengaku umatnya kepada sesiapa yang menolak perkahwinan. Persoalan tentang jodoh ini banyak kita temui dalam pelbagai situasi.
Situasi pertama-
Umur sudah meningkat tetapi masih tidak bertemu jodoh, malah tidak ada tanda-tanda pun akan bertemu jodoh. Sedangkan rakan-rakan dan keluarga sibuk bertanya bilakah akan mengakhiri zaman bujang?
Situasi kedua-
Sudah bertemu jodoh tetapi tidak yakin pada diri sendiri dan tidak yakin itulah jodoh yang sesuai?
Situasi ketiga-
Sudah bertemu jodoh tetapi lebih daripada satu, hingga tidak tahu hendak memilih yang mana satu?
Situasi keempat-
Ada yang mendapat jodoh terlalu awal, dalam usia belasan tahun, maka persoalannya bolehkah diteruskan dengan ikatan pernikahan?
Yakinlah bahawa Allah sudah tetapkan jodoh kita semasa kita dilahirkan. Jodoh, rezeki, ajal, dan maut telah ditetapkan Allah sejak roh kita dicipta. Bagi berhadapan dengan orang yang asyik bertanya tentang jodoh, jawablah begini: "Doakan saya, in shaa Allah akan mendapat jodoh yang baik."
Jangan bosan atau sensitif apabila orang bertanya tentang jodoh, dan elakkan daripada menghukum orang yang bertanya itu dengan pelbagai prasangka buruk. Sebaliknya bersangka baik dengan menganggap orang yang bertanya itu terlalu mengambil berat dan sayang akan kita, bukan terlalu menyibuk tentang soal peribadi kita.
Umur sudah lebih, sudah ada pekerjaan yang baik, dan ekonomi pun sudah mantap tetapi belum ada jodoh? Kita kena yakin bahawa Allah Maha Pemberi dan Allah Maha Mengetahui bilakah waktu yang terbaik kita mendapat jodoh. Kita jangan pedulikan apa orang kata tentang jodoh kita. Sebab kalau kita dengar apa orang kata, sampai bila pun kita tidak senang hidup, kerana hanya kita yang tahu apa yang kita hendak.
Tidak perlu terlalu beremosi dan sensitif tentang persoalan jodoh ini. Maknanya apabila orang memberi perkara yang tidak baik kepada kita, dengan bertanya perkara yang kita tidak suka, hingga membuatkan hati kita tersinggung, sakit dan geram kita terima dan jangan memberi reaksi negatif. Kerana perasaan negatif; geram, marah, sakit hati, bosan dan menyampah itu akan memberi kesan yang buruk kepada emosi dan kesihatan kita, yang akhirnya melemahkan fizikal kita.
Dalam kehidupan ini, kita tidak tahu perkara yang akan berlaku terhadap kita pada masa akan datang. Kalau kita sudah bertemu jodoh untuk meyakinkan dialah jodoh yang sesuai, kita kena percaya yang pegang hati kita ialah Allah. Bersangka baiklah dengan Allah. Cuba kita fikir, dalam banyak-banyak orang yang kita bertemu, mengapakah Allah mentakdirkan mata kita ternampak dia dan menggerakkan hati kita terpikat kepadanya..
Pilihan kita belum tentu baik, pilihan keluarga mungkin baik, tetapi pilihan Allah sentiasa terbaik. Adakah pilihan kita itu kerana Allah dan kerana untuk jaminan kehidupan di akhirat atau kerana orang dan untuk kehidupan di dunia sahaja? Kalau kita mengejar akhirat, dunia akan mengekori kita, tetapi kalau kita mengejar dunia, akhirat akan tertinggal di belakang.
Apabila kita melihat dia, hati kita menjadi tenang. Lihat keturunan keluarganya kalau dapat biarlah yang sekufu dan lihat kedudukan kewangannya. Tetapi, yang paling penting dan ditekankan oleh Nabi adalah kalau kita hendak memilih jodoh, lihatlah agamanya.
In shaa Allah diri kita yang beriman akan menjadi magnet yang akan menarik magnet lelaki/wanita beriman yang sama minat dengan kita. Kalau kita baik, kita ada magnet untuk menarik orang yang baik datang kepada kita. "Magnet Menarik Jodoh".
Berdoalah dan buat Sembahyang Istiqarah. Dengan manusia kita bermesyuarah dengan Allah kita beristiqarah. Tugas kita hanya berdoa mohon dipertemukan jodoh yang baik dan beriman. Jangan kita marah dan menyoal, mengapa Allah tidak pertemukan jodoh untuk kita?
Untuk berkahwin, kesihatan mesti bagus, kewangan bagus dan fizikal pun bagus. Tetapi yang lebih diberi keutamaan ialah persiapkan diri dari segi keimanan.
Sebenarnya yang penting persediaan dari segi agama. Apabila kita berkahwin, rezeki akan datang, In shaa Allah. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment