DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 10 April 2015.
Malaysia sebenarnya tidak berhadapan dengan masalah untuk
mendapat sumber pendapatan negara tetapi sebenarnya negara bermasalah dalam
menguruskan perbelanjaan.
Kegagalan pengurusan perbelanjaan oleh kerajaan Barisan
Nasional memangsakan rakyat hari ini dirompak oleh cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) zalim yang dikenakan secara paksa ke atas diri mereka untuk
menambah hasil negara.
Seawal penubuhan Malaysia, pelbagai cukai dikenakan kepada
golongan berkemampuan untuk menjadi sumber kepada negara sama ada menerusi
cukai langsung korporat dan individu dan cukai tak langsung menerusi duti
eksais dan cukai jualan dan perkhidmatan bagi sebahagian barangan dan
perkhidmatan.
Malaysia juga memperolehi hasil lumayan dan mewah menerusi
hasil bumi khususnya minyak sehingga menjangkau antara RM70-RM80 bilion
setahun.
Sekiranya kerajaan Barisan Nasional mengamalkan konsep
perbelanjaan berhemah, tidak boros dan mengelakkan ketirisan maka pendapatan
daripada sumber cukai sedia ada dan hasil bumi sudah cukup untuk menguruskan
sebuah negara dengan penduduk seramai 28 juta.
Namun, ternyata kerajaan untuk tempoh yang panjang telah
gagal menguruskan perbelanjaan negara menurut panduan Islam dalam berekonomi.
Ia dapat dilihat menerusi fakta-fakta berikut:
a. Belanjawan Tahunan
Kerajaan Barisan Nasional membentangkan belanjawan defisit
selama 18 tahun berturut-turut sejak 1998. Belanjawan defisit bermaksud
perbelanjaan yang dirancang melebihi pendapatan yang dijangka akan diperolehi.
Kerajaan hanya menjangka akan membentangkan belanjawan
berimbang iaitu pendapatan seimbang dengan perbelanjaan pada 2020. Ertinya
negara bakal menyaksikan belanjawan defisit untuk lagi 4 tahun mendatang.
Secara ringkas boleh dilihat perbezaan rancangan
perbelanjaan kerajaan berbanding hasil yang dijangka sebagaimana tahun-tahun
berikut:
Perbelanjaan (P) Hasil (H)
2008 (P) 176 bilion (H) 148 bilion
2009 (P) 207 bilion (H) 161 bilion
2010 (P) 191 bilion (H)148 bilion
2011 (P) 212 bilion (H) 165 bilion
2012 (P) 232 bilion (H) 186 bilion
2013 (P) 251 bilion (H) 208 bilion
2014 (P) 264 bilion (H) 224 bilion
2015 (P) 273 bilion (H) 235 bilion
b. Hutang Negara
Belanjawan defisit menyumbang untuk negara meningkatkan
hutang negara daripada setahun ke setahun.
Pada 2006 hutang negara hanyalah 247 bilion. Tetapi pada
2013 hutang negara telah meningkat kepada 546 bilion dengan peningkatan 299
bilion. Laporan terakhir 2015 hutang negara telah menjangkau 847 bilion.
Perhatikan jadual Hutang Negara sebagaimana berikut mengikut
tahun:
1997 RM90 bilion
1998 RM103 bilion
1999 RM112 bilion
2000 RM125 bilion
2001 RM145 bilion
2002 RM164 bilion
2003 RM188 bilion
2004 RM216 bilion
2005 RM232 bilion
2006 RM247 bilion
2007 RM274 bilion
2008 RM317 bilion
2009 RM376 bilion
2010 RM405 bilion
2011 RM465 bilion
2012 RM501 bilion
2013 RM546 bilion
(Sumber International Monetary Fund)
2014 RM677 bilion
2015 RM847 bilion
(Sumber The Economist)
Bayangkan, hutang kerajaan pada 1997 hanyalah RM90 bilion
tetapi selepas 17 tahun pada tahun 2014 telah menjadi RM677 bilion.
Pada 2003 ketika Tun Abdullah Badawi mengambil alih negara
hutang negara ialah RM188 bilion.
Selepas 6 tahun pada 2009 ketika beliau melepaskan jawatan
kepada Datuk Seri Najib ia meningkat sekali ganda sebanyak RM188 bilion kepada
RM376 bilion.
Selepas 5 tahun Najib mengambil alih negara, hutang pada
2014 meningkat hampir sekali ganda sebanyak 301 bilion kepada RM677 bilion.
c. Ketirisan Perbelanjaan
Kajian yang dibuat oleh Pusat Membanteras Rasuah dan
Kronisme terhadap laporan tahunan Ketua Audit Negara menunjukkan berlaku
ketirisan dan salah urus perbelanjaan antara RM23 bilion hingga RM40 bilion.
Sedangkan GST hanya dijangka menyumbang sebanyak RM23 bilion pada tahun 2015.
Jika ketirisan ditangani maka GST tidak diperlukan.
Pada tahun 2008 perbelanjaan untuk mengurus negara hanyalah
RM128 bilion tetapi untuk 2015 kerajaan merancang perbelanjaan mengurus sebanyak
RM223 bilion.
Tidakkah ia merupakan peningkatan yang melampau untuk tempoh
yang pendek iaitu 7 tahun dengan peningkatan hampir RM100 bilion?
Hasil daripada kegagalan menguruskan perbelanjaan inilah
maka kerajaan mula berfikir untuk meluaskan lagi sumber kewangan negara
sedangkan sebenarnya kerajaan tidak berhadapan dengan masalah sumber tetapi
pada masalah berbelanja.
Penyelesaian mudah kerajaan ialah memperkenalkan Cukai
Jualan dan Perkhidmatan (GST) kerana GST adalah cara paling mudah untuk
mengutip sumber daripada rakyat.
GST dikenakan pada semua barangan dan perkhidmatan melainkan
yang dikecualikan. Ertinya kerajaan mendapat ruang yang sangat besar dan luas
untuk mendapat hasil menerusi cukai.
GST kena kepada semua rakyat tanpa mengira kaya atau miskin
yang berbelanja dan mendapat perkhidmatan. Ertinya GST mempunyai cakupan cukai
sangat luas.
Jika sebelumnya hanya sekitar 1.7 juta terpaksa membayar
cukai maka dengan GST berjuta-juta rakyat terpaksa membayar cukai setiap hari
termasuk orang miskin.
Apabila cukai dikenakan kepada si kaya dan si miskin maka di
sinilah ketidakadilan sosial dan kezaliman berlaku. Kerana itulah cukai GST
adalah zalim dan haram menurut kaedah percukaian Islam kerana cukai sepatutnya
hanya kena kepada orang yang berkemampuan sahaja.
Data 2012 menunjukkan 31.7% isi rumah Malaysia berpendapatan
kurang daripada rm2500 dan 23.8% lagi berpendapatan antara RM2,500 - RM4,000.
Ertinya lebih separuh rakyat Malaysia mempunyai pendapatan di bawah RM4,000
iaitu di bawah paras kemiskinan
Copy n paste dr group LHDN utk sama2 Kita fikirkn bagai mana
utk menghadapi situasi yg genting ini
No comments:
Post a Comment