Mula² bacakan Al-Fatihah kepada siapa yang ingin kita
tawassulkan kemudian berdoa "Ya Allah aku bertawajjuh kepadaMu dan aku
bertawassul dengan keberkatan dan kemuliaan hambaMu (fulan bin fulan),
tunaikanlah hajatku(sebutkan hajat).
Tidak mengapa jika hendak membacanya dalam hati atau suara
keras.
TAWASSUL
Apa maksud tawassul?
Adakah bertawassul
dengan nabi s.a.w. dianggap syirik atau tidak?
Jawapan :
Dari sudut bahasa, kalimah at-Tawassul bermaksud mengambil satu jalan untuk sampai kepada sesuatu.
Adapun dari segi
Syara’, ia bermaksud; mendekatkan diri
kepada Allah melalui jalan mentaatiNya, beribadah kepadaNya, mengikuti para
Nabi dan RasulNya dan dengan apa sahaja amalan atau cara yang disukai Allah dan
diredhaiNya.
Firman Allah :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan”.
(Al-Maidah;
35)
Tawassul ada yang disepakati oleh para ulamak dan ada yang diikhtilafkan.
Tawassul yang disepakati oleh ulamak
akan keharusannya –malah digalakkan melakukannya- ialah :
a) Tasawwul dengan nama Allah dan sifatNya
b) Tawassul dengan amal soleh
c) Tawassul dengan doa orang soleh
Tawassul melalui cara-cara di atas telah disepakati oleh para ulamak dan tidak ada ulamak yang mempertikainya.
Adapun jenis tawassul
yang diiktilafkan ialah bertawassul kepada Allah
(iaitu berdoa kepadaNya) dengan kemuliaan atau kemegahan zat salah seorang dari
hambaNya.
Contohnya; bertawassul dengan zat
Nabi atau mana-mana orang soleh untuk memohon suatu hajat dari Allah. Para
ulamak dalam menjelaskan hukum tentangnya ada beberapa pandangan :
a) Pandangan yang mengharamkan secara keseluruhannya iaitulah pandangan Imam Ibnu Taimiyyah, Syeikh Nasiruddin al-Albani, Syeikh Bin Baz dan yang sealiran dengan mereka.
Mereka berpandangan tawassul
sedemikian adalah tidak harus dan bid’ah kerana tidak disebut oleh al-Quran dan
tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w..
Adapun hadis-hadis
yang menyebutkan tentang tawassul sahabat dengan Nabi s.a.w. maka maksudnya
ialah tawassul dengan doa baginda, bukan dengan zatnya.
Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; “Lafaz tawassul dikehendaki maknanya dengan tiga perkara :
Pertama : bertawassul kepada Allah dengan cara beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan mentaati baginda.
Kedua : bertawassul dengan doa dan syafaat baginda
Kedua-dua bentuk tawassul di atas telah disepakati keharusannya oleh ijmak ulamak. Siapa mengingkarinya ia adalah kafir dan murtad. Ia diminta supaya bertaubat. Jika enggan bertaubat, hendaklah dibunuh.
Ketiga: tawassul dengan makna bersumpah kepada Allah dengan zat Rasulullah s.a.w. atau memohon kepada Allah dengan zat baginda.
Tawassul yang ketiga
ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat sama ada ketika baginda masih hidup atau setelah baginda
mati, sama ada di sisi kubur baginda atau di sisi kubur orang lain”.
(Lihat;
at-Tawwasul wa al-Wasilah, al-Imam Ibnu Taimiyyah).
b) Pandangan yang mengkhususkan keharusan dengan Nabi s.a.w. sahaja, yakni harus bertawassul dengan Nabi s.a.w., namun dengan orang lain (termasuk para sahabat, wali-wali Allah dan sebagainya) adalah tidak harus.
Pandangan ini diambil dari Imam
Izzuddin Ibnu ‘Abdissalam. Beliau berdalilkan sebuah hadis yang menceritakan :
“Seorang lelaki yang buta matanya datang kepada Nabi s.a.w., lalu ia berkata; ‘Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah supaya Dia menyembuhkan mataku’. Lalu Rasulullah menyuruhnya mengambil wudhuk, menunaikan solat dua rakaat dan seterusnya berdoa seperti di bawah :
اللَّهُمَّ
إني أسألُكَ وأتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيّ الرَّحْمَةِ صلى
اللّه عليه وسلم، يا مُحَمَّدُ! إني تَوَجَّهْتُ بكَ إلى رَبّي في حاجَتِي هَذِهِ
لِتُقْضَى لي، اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فيّ
“Ya Allah! Aku bermohon dan bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad, nabi rahmat. (Aku telah meminta kepadanya (yakni kepada Muhammad);) ‘Ya Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh kepada Tuhanku dengan kemuliaanmu bagi hajatku ini supaya Ia menunaikannya untukku’. Ya Allah! Berilah syafaat kepadanya untukku”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini adalah hasan soheh).
c) Pandangan yang mengharuskannya secara mutlak, iaitu harus bertawassul sama ada dengan kemegahan zat Nabi Muhammad atau orang-orang soleh yang lain. Pandangan ini diutarakan oleh Imam as-Subki.
Antara dalilnya ialah; riwayat oleh
Imam Ibnu Syaibah dari Malik ad-Dar dengan sanad yang soheh –sebagaimana yang
ditegaskan Imam al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari- yang menceritakan :
“Telah berlaku kemarau
yang teruk pada zaman Umar r.a., lalu seorang lelaki pergi ke kubur Nabi
s.a.w., lalu ia berkata; ‘Wahai Rasulullah! Mohonlah hujan (dari Tuhanmu) untuk
umatmu kerana sesungguhnya mereka telah mengalami kemusnahan (kerana kemarau)’.
Pada malamnya, lelaki itu bermimpi Rasulullah datang kepadanya dan berkata;
“Pergilah kepada Umar, sampaikan salamku kepadanya dan khabarkan kepadanya
bahawa mereka akan dikurniakan hujan (oleh Allah)”.
Menurut Imam Ibnu Hajar, lelaki
tersebut bernama Bilal bin al-Harith al-Muzani dan beliau merupakan seorang
sahabat.
(Rujuk;
Fathul-Bari, juz. 3, hlm. 148 dan al-Isabah, juz. 3, hlm. 4).
Peristiwa di atas berlaku pada zaman
Saidina Umar dengan diketahui oleh para sahabat termasuklah Umar sendiri dan
tidak ada seorangpun di kalangan mereka yang mengingkarinya, menunjukkan bahawa
ia adalah harus.
Adapun pandangan Imam Izzuddin yang mengkhususkan keharusan
bertawassul seperti itu dengan Rasulullah s.a.w. sahaja, yakni tidak harus
dengan orang lain, maka pandangan itu dapat dipertikaikan kerana tidak ada
dalil yang menegaskan bahawa hal tersebut hanya khusus untuk baginda sahaja.
Apabila tiada dalil khusus, maka kekallah ia dengan sifat umumnya.
Pandangan Imam as-Subki di atas disokong oleh Imam al-Alusi, Syeikh Zahid al-Kauthari, Syeikh Muhammad Hasanin Makhluf (bekas mufti Mesir) dan lain-lain lagi. Syeikh Hasanin Makhluf dalam fatwanya menegaskan :
“Bertawassul dengan
zat para Nabi dan orang-orang soleh dengan pengertian memohon syafaat dengan
zat-zat mereka sebagai satu cara untuk memohon hajat kepada Allah kerana
melihat kepada hampirnya mereka dan mulianya mereka di sisi Allah seperti
dengan seorang itu berkata; ‘Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawassul kepadamu
dengan NabiMu atau dengan si fulan hambaMu yang soleh agar Engkau menunaikan
hajatku atau mengurniakan rezki kepadaku, atau menyemuhkan penyakitku’, maka
tawassul sebegini atau seumpamanya adalah harus dan tiada apa yang menegahnya”.
Kesimpulan
Bertawassul dengan Nabi s.a.w. jika dengan makna mencari wasilah/jalan kepada Allah dengan cara beriman kepada baginda s.a.w. dan mentaatinya atau dengan makna memohon hajat kepada Allah dengan doa dan syafaat baginda (ketika hayatnya), maka tawassul sebegini adalah harus dengan ijmak para ulamak.
Adapun bertawassul dengan makna
memohon kepada Allah dengan menyebutkan zat atau kemuliaan baginda (selepas
kewafatannya), maka ia diikhtilafkan di kalangan
ulamak. Masing-masing dengan hujjah yang tersendiri.
Hal ini dijelaskan juga oleh Imam Hasan al-Banna dalam Usul al-‘Isyrinnya; “Berdoa jika diiringi dengan bertawassul kepada Allah
dengan salah seorang dari makhluknya merupakan perkara khilaf dalam masalah
furu’ dalam cara berdoa dan ia bukan tergolong dalam masalah-masalah aqidah”.
Namun demikian, jika kita dapat
mengambil sikap yang mengeluarkan kita dari khilaf itulah yang terbaik.
Wallau a’lamu bisshawab.
Disediakan oleh :
Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan
Dewan Pemuda PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment