Friday, September 2, 2016

Soal Jawab tentang Ibadah Qurban & Akikah

Bolehkan daging Qurban dijual?

Haram hukumnya menjual daging Qurban, ia hendaklah disedekahkan!

Daripada saidina `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:

”Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.”

(Riwayat al-Bukhari hadith ke-1716, Muslim, hadith ke-1317)


Siapakah yang layak menerima daging korban?

Orang yang bekorban berhak mendapatkan 1/3 dari daging korbannya, Fakir Miskin dan orang - orang Islam yang lain.


Apakah daging yang diniatkan qurban boleh dimakan oleh tuan punya yang melakukannya?

Daging qurban halal dimakan atau dimiliki oleh orang yang berqurban bahkan sunat ia mengambil satu pertiga. Akan tetapi daging “qurban wajib” atau daging “qurban nazar” haram dimakan oleh orang yang bernazar. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam - Surah Al-Hajj, ayat 28 .
Daging qurban, sunat dimakan oleh orang yang berqurban selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah.


Boleh atau tidak Rusa dijadikan ibadat sembelihan qurban? Berapakah bahagiannya?

Binatang sembelihan qurban ialah unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Tidak sah qurban yang selainnya.


Berapa bilangan (ekor/bahagian) haiwan ibadah qurban yang di galakkan?

Bagi setiap seekor lembu, unta atau kerbau itu boleh dibahagi kepada 7 bahagian. Bahgian paling sedikit yang harus dalakukan oleh seseorang itu adalah satu bahagian dan tiada batasan untuk bilangan paling banyak. Seseorang muslim itu boleh melaksanakan ibadah qurban ini sebanyak mungkin mengikut kemampuannya. Adapun bagi kambing pula, bagi seekor kambing tidak boleh dibahagi mengikut bahagian seperti lembu. Maka bagi setiap kambing itu adalah untuk seorang muslim sahaja.


Bolehkah daging qorban diberikan kepada bukan Islam dan apa hukumnya org kafir memberi bantuan/ derma untuk ibadah qurban. Adakah kita boleh menerima sumbangan mereka itu ?

Tidak harus memberi makan daging qurban dan aqiqah kepada orang kafir sama ada daging qurban wajib dan aqiqah wajib ataupun sunat. - Fatwa Negeri Selangor (Sel P.U 12) . Org kafir tidak diwajibkan melaksanakan ibadah qorban. Sumbangan yang diberikan tidak dikira sebagai ibadah qorban.


Apakah hukum mewakilkan ibadah qorban kepada org lain? NGO misalnya?

Hukum wakalah adalah harus dengan syarat-syarat seperti berikut :

i. Lafaz wakalah hendaklah secara soreh (jelas) atau kinayah (kiasan)
ii. Hendaklah mendapat izin dari muwakkil (org yg meminta utk diwakilkan)
iii. Muwakkil wajib melafazkan tawkil sama ada secara soreh atau kinayah kepada wakil yang dilantik untuk menguruskan qurban tersebut.

Secara menyerahkan tanggungan dengan berkata:

"Saya meletakkan atas tanggungan tuan untuk menghasilkan penyembelihan qurban untuk ku."

(PERINGATAN: Jika penerima tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diterima, boleh diserahkan kepada orang lain untuk menyempurnakan penyembelihan untuk orang-orang yang berakad tadi).


Ibadah Aqiqah

“Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” - Maksud Hadis


Hukum aqiqah

Aqiqah adalah sunat muakkad iaitu sangat digalakkan bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Melaksanakan aqiqah merupakan tanggungjawab ibubapa atau penjaga anak tersebut.


Waktu aqiqah

Bila-bila masa sejak anak itu dilahirkan dan tidak ada batasnya.
  1. Sunat melakukannya pada hari ke 7, ke 14 dan ke 21.
  2. Syarat-syarat melakukan Aqiqah:
  3. Syarat-syarat untuk binatang aqiqah adalah sama seperti binatang korban.
  4. Aqiqah untuk anak lelaki ialah dua ekor kambing atau dua bahagian lembudan
  5. anak perempuan pula seekor kambing atau satu bahagian lembu.
  6. Bagaimanapun, sekiranya kurang mampu, memadai membuat satu bahagian lembu aqiqah atau seekor kambing untuk anak lelaki. Bakinya lagi boleh dibuat jika berkemampuan di kemudian hari.
  7. Disunatkan menyedekahkan daging aqiqah yang sudah dimasak(masakan yang manis-manis).
  8. Seelok-eloknya tulang binatang aqiqah tidak dipatahkan sebaliknya dipotong pada sendinya.

Hikmah melakukan aqiqah 

  1. Satu ibadah yang bertujuan mendekatkan diri anak kepada Allah s.w.t dari peringkat awal lagi.
  2. Sebagai fidyah (tebusan) untuk menebus diri anak dari segala mara bahaya dan bala bencana, sebagaimana Allah telah menebus Nabi Ismail dengan seekor kibasy.
  3. Sebagai tanda gembira dan kesyukuran atas kurniaan anak dan nikmat rezeki.
  4. Mengukuhkan lagi pertalian kekeluargaan dan hidup bermasyarakat melalui jamuan dan agihan lauk daripada daging aqiqah.
  5. Untuk mendapatkan ganjaran di sisi Allah pada hari kiamat.

Doa menyembelih ternakan aqiqah

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Allah! Ini aqiqah (sebutkan nama nama tersebut) Ya Allah! Semoga aqiqah ini engkau jadikan sebagai tebusan baginya (agar terhindar) daripada siksaan api neraka.”


1. Apakah bezanya Korban dan Aqiqah? 

Korban hanya boleh dilakukan pada Hari Raya Haji dan 3 hari selepasnya. Ia adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan memberi daging kepada orang miskin dan ahli keluarga serta sahabat handai. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Tiada seorang dari kamu harus melakukan korban sehinggalah kamu telah melakukan solat (Eid)”. Aqiqah adalah ibadat yang dilakukan bagi anak yang baru lahir. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sehingga anak itu baligh. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Seorang anak lelaki sedang diikrarkan untuk aqiqah, ia dilakukan pada hari ketujuh, rambutnya dicukur dan dia diberi nama.” Kedua-dua ibadat ini adalah sunat. 

2. Adakah aqiqah cuma boleh dilakukan untuk bayi yang baru lahir sahaja?

 Aqiqah boleh dilakukan untuk anak selagi mana anak itu belum baligh. Jika anak itu sudah baligh, maka adalah lebih baik dilakukan ibadat korban. Aqiqah boleh dilakukan bila-bila masa, tetapi korban hanya boleh dilakukan pada hari-hari tertentu sahaja dalam bulan Zulhijjah.

 3. Bilakah waktu yang paling sesuai untuk aqiqah, cukur rambut dan khatan untuk bayi yang baru lahir?

 Adalah sunat untuk dilakukan aqiqah dan cukur rambut pada hari ketujuh selepas kelahiran anak itu. Maka, adalah baik didahulukan cukur rambut pada hari ketujuh. Kemudian apabila ada kesempatan, seperti pada Hari Raya Haji, lakukan aqiqah anak itu. Tempoh aqiqah adalah sehingga anak itu baligh. Khatan pula baik dilakukan ketika anak masih kecil agar ia tidak ingat kesakitan yang dilaluinya. Namun, tidak mengapa ia ditangguhkan sehingga anak itu besar.

 4. Bolehkah aqiqah ditangguhkan jika ibu bapa tidak mampu? 

Aqiqah hanya digalakkan setelah seorang anak itu lahir, sebaiknya 7 hari selepas kelahirannya. Jika pada waktu itu kedua ibu dan bapa anak itu tidak berkemampuan untuk melaksanakan aqiqah, bolehlah ditangguhkan sehingga mereka mampu. Aqiqah boleh dilakukan sehingga anak itu belum mencapai usia baligh. 

5. Berapa ekor kambing yang harus diaqiqahkan untuk anak lelaki? 

Adalah sunat bagi melaksanakan aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing jika mampu. Namun, jika tidak, seekor pun memadai. Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Dua ekor kambing yang menyerupai (dalam usianya) disembelih untuk seorang lelaki dan seekor untuk seorang perempuan.” 

6. Bolehkah seorang selain dari ibu bapa melakukan aqiqah untuk seorang bayi/kanak-kanak?

 Dibolehkan melakukan aqiqah untuk seorang bayi/kanak-kanak oleh seorang selain dari ibu bapanya lebib-lebih lagi orang yang menjaga bayi atau kanak-kanak itu. Ia sebaiknya dilakukan pada hari ketujuh selepas lahirnya bayi tersebut. 

7. Bolehkah seseorang itu melaksanakan aqiqah untuk anak angkatnya? 

Aqiqah boleh dilaksanakan untuk anak kandung dan juga anak angkat. Ia sebaik-baiknya adalah pada hari yang ketujuh selepas kelahiran bayi.

 8. Bolehkah digantikan aqiqah beberapa ekor kambing dengan seekor lembu?

 Seekor lembu boleh disembelih atas 7 nama, tidak kira samada ia merupakan 7 individu, atau beberapa individu. Disunatkan bagi binatang yang diaqiqahkan agar tidak dipecahkan tulang-tulangnya. Dagingnya pula dibahagikan seperti berikut: sepertiga untuk fakir miskin, sepertiga untuk keluarga dan sahabat handai, dan sepertiga lagi untuk anda sekeluarga.

9. Adakah boleh melakukan aqiqah untuk anak di luar negara, kerana di Malaysia ia kebanyakannya dilakukan di hari raya Aidiladha saja? 
Aqiqah boleh dilakukan di mana sahaja, tidak kira dalam negara atau luar negara, tidak kira samada disaksikan oleh orang yang lakukan aqiqah tersebut atau tidak. Selagi mana sewaktu membeli kambing tersebut ia telah jatuhkan niat sebagai aqiqah dan tukang sembelih berniatkan aqiqah ketika sembelih, maka aqiqah tersebut adalah sah. 

10. Bolehkah seseorang itu mengerjakan ibadah korban/ aqiqah untuk yang sudah meninggal dunia? 

Korban dan aqiqah hanya boleh dibuat untuk orang Islam yang masih hidup. Oleh itu, tidak boleh mengerjakan ibadah korban untuk yang sudah meninggal dunia. Adalah lebih baik berdoa, membaca Al-Quran atau bersedekah atas nama mereka yang sudah tiada dan berharap agar pahala ibadah-ibadah tersebut sampai kepada mereka. 

11. Bagaimanakah caranya melakukan ibadah korban buat ahli keluarga yang masih hidup? 

Cara melakukan korban untuk ahli keluarga yang masih hidup adalah dengan memberikan mereka wang untuk membeli kambing korban ataupun untuk membelikan lembu korban untuk mereka. Walaubagaimanapun, izin mereka haruslah diminta dahulu. Apabila waktu korban telah tiba, tukang sembelih akan menyebut nama mereka yang melakukan ibadah.

 12. Perlukah seseorang itu menunggu sehingga segala hutangnya diselesaikan sebelum melaksanakan ibadah korban?

 Sekiranya hutang tersebut ada tempoh untuk membayar dan kita yakin bahawa kita mampu membayar kembali hutang itu, maka itu tidak menghalang kita dari melakukan ibadah korban. Sayugia diingatkan disini bahawa hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat dan bukanlah wajb, maka jika melaksanakan ibadah korban akan membebankan seseorang itu, maka tidak mengapa jika tidak melaksanakannya. 

13. Kepada siapakah daging korban harus diagihkan? Daging korban dibahagikan kepada tiga: 

1) Sepertiga untuk fakir miskin.
2) Sepertiga untuk ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat-handai walaupun mereka tidak mengharapkannya.
3) Sepertiga untuk diri sendiri, dan bahagian ini boleh dimakan atau diberikan kepada orang bukan Islam. Walau bagaimanapun, jika ia merupakan korban wajib seperti nazar, maka yang membuat korban itu tidak boleh mengambil daging tersebut. 

14. Bolehkah daging korban diberikan kepada orang bukan Islam? 

Korban merupakan satu ibadat yang mendekatkan diri seseorang kepada Allah s.w.t. Sebahagian ulama mengkhususkan pembahagian tersebut hanya kepada orang Islam sahaja demi memelihara dan menjaga ibadat tersebut. 
-Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat atau wajib (nazar) kepada orang bukan Islam.
-Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.


-Mazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.
Namun ianya tidak menjadi satu kesalahan jika daging korban yang telah dimiliki seseorang melalui pembahagian daging tersebut diberikan kepada teman atau jirannya yang bukan Islam. Hal ini sesuai dengan konteks masyarakat majmuk negara ini yang bergaul sesama masyarakat bukan Islam. Namun sekiranya keadaan masyarakat yang bukan beragama Islam sangat memerlukan, dalam erti kata kalau tidak dibantu keadaan mereka akan bertambah buruk dan dengan membiarkan mereka dalam keadaan melarat boleh mendatangkan bencana yang lebih buruk, maka dalam keadaan ini pandangan beberapa mazhab seperti pandangan ulama Maliki boleh diamalkan. Ini kerana memelihara nyawa adalah lebih utama dalam hal ini.

15. Bagaimanakah seseorang itu menerangkan tentang ibadah korban kepada mereka yang menganggapnya sebagai kezaliman keatas haiwan? Jika tujuannya untuk membantu fakir miskin, bukankah pilihan lain lebih bersesuaian? 

Perkataan Korban berasal dari perkataan “qaraba” yang bermaksud mendekati dan dalam konteks ibadah korban pula, bermaksud mendekati Allah dengan mengikut perintahNya agar mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain dengan pemberian daging korban atau amalan-amalan yang lain. Perkara ini mungkin tidak boleh diterima oleh ahli vegetarian, penyayang haiwan dan kumpulan-kumpulan hak asasi haiwan yang menentang segala kekejaman terhadap haiwan. Walaupun pandangan golongan ini harus dihormati dan difahami, keperluan dan amalan golongan yang memakan daging (maserba) yang bersifat majoriti harus diambil kira juga. Islam membenarkan manusia memakan daging dan sayuran kerana ia akur bahawa manusia secara semulajadi termasuk dalam golongan pemakan daging (maserba) dan mempunyai kedua-dua jenis gigi untuk memakan daging dan sayuran iaitu molars dan canine. Akan tetapi, kebenaran ini datang dengan beberapa syarat dan syarat terpenting adalah larangan keatas segala kezaliman atau kekejaman ke atas haiwan. Ia juga melarang segala penganiayaan terhadap tumbuh-tumbuhan dan bumi kita.Sehubungan dengan soalan diatas, sayugia diterangkan disini bahawa walaupun Islam membenarkan manusia memakan daging, ia tidak bermaksud bahawa mereka boleh memakan apa sahaja yang diingini dan seberapa banyak yang diingini . Islam telah memberi garis panduan tentang haiwan manakah yang boleh dimakan (halal) dan manakah yang dilarang (haram). Hanya haiwan pemakan sayuran atau tumbuhan (herbivores) adalah halal dimakan. Akan tetapi, memakan daging haiwan yang eksotik tidak digalakkan kerana tujuan asas memakan adalah untuk terus hidup dan bukan sebaliknya. Tidak perlu untuk memakan daging haiwan seperti zirafah dan kuda belang kerana haiwan yang dibela jinak seperti kambing, lembu dan ayam lebih dari cukup.Islam melarang pembunuhan segala jenis haiwan yang tidak bermoral. Haiwan harus dibunuh dalam dua keadaan sahaja. Pertama, apabila ia membahayakan nyawa manusia. Dan kedua, apabila datangnya keperluan untuk memakan daging haiwan. Dalam hal ini, Islam telah menetapkan cara yang terbaik yang penuh belas kasihan untuk mengambil nyawa haiwan. Sebagaimana yang dikatakan di Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t telah memutuskan bahawa segala amalan harus dilakukan dengan belas kasihan. Jikalau seseorang itu harus membunuh seseorang (didalam peperangan atau sebagai hukuman mati) bunuhlah ia dengan belas kasihan. Dan jikalau seseorang itu menyembelih seekor haiwan, sembelihlah ia dengan belas kasihan. Asahlah pisau yang digunakan dan izinkanlah haiwan itu berehat sebanyak mungkin.”Dengan itu, sudah menjadi kebiasaan bagi orang-orang Islam untuk mengasah pisau sebelum menyembelih. Pisau yang tajam akan memastikan pemotongan yang cepat dan bersih di saluran nafas dan saluran makanan dan minuman. Ini akan menyebabkan haiwan itu mati dengan serta-merta dan mengelakkan ia dari rasa terseksa. Haiwan itu juga harus dilindungi dari mana-mana tekanan, seperti mengasah pisau didepan haiwan tersebut. Menurut cara penyembelihan Islam, kedua-dua urat saraf utama si haiwan itu harus dipotong tanpa memenggalkan kepalanya. Pemotongan kedua-dua urat tersebut akan menyebabkan kehilangan darah yang amat banyak di jantung dan otak dalam waktu yang singkat dan seterusnya menyebabkan penutupan kedua-dua organ tersebut secara serta-merta. Dan ini akan memastikan kematian yang cepat dan tidak menyakitkan. Sebuah kajian yang dilakukan oleh Universiti Hanover di Germany telah membuktikan bahawa cara penyembelihan Islam akan memastikan bahawa haiwan yang disembelih itu akan mati hanya 6 saat selepas pemotongan. Memang terdapat banyak pilihan atau alternatif yang lain untuk membantu golongan fakir dan miskin. Satu contoh ialah dengan memberi sedekah atau dengan memberi mereka makanan. Memandangkan bahawa kebanyakan dari mereka bukan dari golongan vegetarian, memberi mereka daging adalah sesuatu yang mereka amat menghargai kerana sayur-sayuran agak mudah didapati kerana harganya yang murah akan tetapi daging bukanlah sesuatu yang mereka mampu untuk membeli. Kekejaman terhadap haiwan yang dilakukan segolongan manusia, samada Islam atau bukan Islam, tidak patut menghalang seseorang itu dari memahami matlamat dan hikmah sebenar di sebalik ibadah Korban dan cara Islam yang penuh belas kasihan dalam menangani isu kekejaman terhadap binatang. 

16. Mengapakah umat Islam menyambut Hari Raya Haji?

 Islam telah menetapkan dua sambutan agama bagi umatnya iaitu; Hari Raya Puasa (Eid Al-Fitri) dan Hari Raya Haji (Eid Al-Adha). Sambutan Hari Raya Haji adalah sempena peristiwa yang berlaku antara Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. mengenai ujian yang diturunkan Allah s.w.t kepada mereka.“Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan "satu umat" (walaupun Ia seorang diri); ia taat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik. Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus.” (Qur'an 16:120-121) 

No comments:

Post a Comment