Friday, October 28, 2016

Bahaya Cabar Dr Mahathir


Kesilapan besar sesiapa pun yang berdepan dengan Dr Mahathir adalah mencabar kegigihan beliau dan mempersendakan rancangannya.


Buat masa ini, rancangan nombor satu beliau adalah menjatuhkan BN dalam PRU akan datang melalui kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang.

Kalau beliau bukan seorang yang gigih, beliau sudah lama menyerah kalah, khususnya setelah bersara daripada jawatan Perdana Menteri pada 2003.

Pelbagai halangan, tembok dan ranjau didirikan untuk menghalang beliau daripada terus memainkan peranan sebagai mentor demi negara yang beliau cintai. 

Ahad lalu beliau menceritakan bagaimana beliau terpaksa menyewa pesawat eksekutif untuk terbang ke Alor Setar bagi menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana kesuntukan masa.

Beberapa jam sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Kedah, beliau merasmikan mesyuarat agung Perkim di Kuala Lumpur.

Kata beliau, kawan-kawan yang ketika beliau menjadi Perdana Menteri dulu berlumba-lumba meminjamkan pesawat peribadi mereka, telah menghilangkan diri. Mereka takut dilihat bersama beliau. 

Pada sebelah malamnya, Dr Mahathir bertolak ke London. Oleh kerana tidak ada pesawat peribadi untuk digunakan, beliau terbang dengan pesawat perdagangan.

Menurut kakitangan beliau, mereka mencadangkan beberapa syarikat penerbangan, tetapi Dr Mahathir bertegas mahu terbang dengan MAS.

Cintanya kepada negara mengatasi keselesaan diri. Bukanlah mudah bagi seorang yang berusia 92 tahun berkongsi pesawat raksasa (Airbus A380) dengan 500 penumpang lain untuk penerbangan 13 jam.

Jadi kalau ada orang, tidak kira bangsa atau kedudukan – menteri, raja, temenggung, bendahara, syahbandar, blogger pelarian atau pemakan dedak - yang berasa mempersendakan beliau sebagai orang tua nyanyuk boleh mematahkan semangat beliau mereka silap besar.

Cacian dan jenaka murahan mereka mungkin membuatkan sesetengah orang ketawa berdekah-dekah, tetapi bagi Dr Mahathir ia umpama kuman yang menguatkan lagi daya tahan badannya. Azam dan iltizam beliau menjadi bertambah kukuh.

Itulah Dr Mahathir yang saya kenali dan dampingi sejak 52 tahun lalu. Beliau bukan insan yang gilakan sanjungan dan patah hati semata-mata kerana makian dan cacian. Hidup matinya berakar-umbikan perjuangan. 

[Petikan tulisan Dato A Kadir Jasin dalam entri terbaru di blognya bertajuk "Cacian Kukuhkan Azam dan Iltizam Dr Mahathir".]

No comments:

Post a Comment